Berita

COVID 19 : PM Umum PKP Dilanjut Sehingga 28 April 2020

peNA eJs


https://www.sinarharian.com.my/

Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh PKP bagi memberi ruang kepada barisan petugas kesihatan bagi benar-benar dapat menangani serta memerangi penularan wabak COVID 19 di negara ini.

Langkah ini juga dibuat bagi memastikan wabak tidak tular semula di komuniti masyarakat Malaysia amnya. Kerajaan juga mengambil keputusan ini selaras dengan pandangan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Saranan ini diambil memandangkan ianya terlalu awal untuk menamatkan PKP. 

Terdahulu, seperti diketahui umum, Perdana Menteri mengumumkan PKP dilaksanakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020 sebelum dilanjutkan ke fasa kedua bermula 1 hingga 14 April 2020.

Mengambil kira situasi yang berlaku di luar negara, penularan wabak ini boleh meningkat semula jika PKP ditamatkan lebih awal. PKP dilihat benar-benar dapat membantu petugas kesihatan mengawal penularan wabak COVID 19 berdasarkan situasi dalam negara pada masa kini.  

Rakyat Malaysia dinasihatkan agar memainkan peranan masing-masing dalam menangani pandemik ini. Kepatuhan kepada PKP adalah penting demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. 

Usaha mencegah wabak itu mesti diperhebat lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Mengenal pasti punca penularan wabak perlu diberi tumpuan khusus. Dengan itu, masyarakat seterusnya disaran untuk terus kekal di rumah masing-masing serta mengamalkan jarak sosial yang selamat dari orang lain.
Amalan kebersihan diri perlu diteruskan dengan lebih berhemah lagi termasuk kerap bersihkan diri, gaya hidup sihat serta tidak dilupakan pemakanan yang seimbang. 

Bukan mudah untuk memastikan penularan wabak diatasi seratus peratus namun usaha dan kepatuhan kepada arahan kerajaan dilihat mampu membantu petugas kesihatan serta KKM khasnya berhadapan dengan situasi sukar ini walau dalam tempoh yang agak lama. 

KKM akan terus memantau perkembangan perihal yang berkaitan dengan wabak COVID 19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 10 kali.


Kembali ke Atas