Berita

CSR PDT Kuantan Di Kg Ubai Cakna Mangsa

peNA eJs

Keluarga Puan Khatijah Sabariah bt Ahmad, merupakan antara mangsa banjir di daerah Kuantan yang turut dilanda bencana ini. Pada saat mangsa lain telah mula sibuk memasuki rumah setelah banjir melanda, keluarga ini turut mengalami situasi yang sama.

 

Fenomena banjir adalah perkara yang biasa dialami setiap kali hujung tahun di negara ini, namun pada tahun ini ianya berlaku agak luar biasa. Hujan yang lebat tidak henti-henti telah memenuhi semua sungai-sungai sehingga melimpah. Ini diburukkan lagi dengan fenomena air laut pasang dalam yang menyekat pengaliran air sungai ke laut lepas. Usaha memberi bantuan terjejas akibat terputusnya hubungan melalui darat. Malah semua ini turut terganggu akibat pematuhan kepada SOP dalam mengekang wabak pandemik COVID 19 yang semakin tular. Keadaan mangsa banjir ini dilihat tertekan malah keselamatan mereka juga belum tentu terjamin.

Sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir pastinya dapat mengubat sedikit kecelaruan yang menimpa. 

Selagi termampu nasib mereka perlu dibela. 

Selagi termampu bantuan perlu dihulur. 

Selagi termampu bukan sahaja wang ringgit yang dipinta, malah bersamalah berdoa agar musibah ini segera berakhir. 

   

Program cakna banjir ini diketuai oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pn Nor Diana Ismail bersama beberapa warga kerja PDT Kuantan menyantuni mangsa dengan membersihkan kawasan rumah yang telah ditengggelami air. Walau pun sumber air yang agak terhad, namun program selama 3 jam ini telah sedikit sebanyak menggembirakan hati mangsa dan menjawab keluh resahnya. Kehadiran dan kerjasama Penghulu Mukim Penor, Encik Mohamed Hafizal bin Mohamed Shah turut memberi sedikit kelegaan buat mangsa dan keluarga dalam menghadapi saat sukar sebegini. 

 

Semoga sedikit keringat yang diberikan hari ini mampu mengukir sedikit senyuman buat mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Harapan agar kesemua mangsa yang terlibat diberi kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi ujian Allah yang teramat berat ini. Bersamalah kita memanjatkan doa agar dipermudahkanlah segala urusan. 

Perkongsian lensa cakna di https://www.facebook.com/Pejab...

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 29 kali.


Kembali ke Atas