Berita

Diganti PKPP, Rakyat Diberi Sedikit Kelonggaran

peNA eJs

Kesimpulannya, PKPP ini lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) secara berterusan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020 ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula esok memberikan kelegaan kepada orang ramai apabila lebih banyak kelonggaran diberikan, untuk menjalani rutin kehidupan seharian.

Pelaksanaan PKPP menyaksikan bukan sahaja hampir kesemua sektor ekonomi kembali beroperasi, malah kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan dan rekreasi juga telah dibenarkan bermula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Setelah hampir tiga bulan rakyat negara ini terpaksa menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu, antara perkara yang ditunggu termasuk kebenaran merentas negeri, aktiviti pelancongan domestik, perkhidmatan kedai gunting rambut dan salun kecantikan bermula 10 Jun 2020. Operasi pasar malam, bazar dan gerai pasar pula akan bermula pada 15 Jun 2020

Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kepatuhan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan rakyat sedikit sebanyak telah membuahkan hasil dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengorbanan petugas barisan hadapan ternyata tidak sia-sia, apabila jumlah kes positif jangkitan Covid-19, semakin hari dilihat semakin menurun. 

Namun dalam kegembiraan menyambut kelonggaran yang diberikan serta kes positif COVID-19 yang semakin berkurang, pematuhan terhadap SOP perlu diteruskan dan tidak boleh dikompromi sama sekali. Semoga rantaian jangkitan wabak ini dapat diputuskan.

Oleh itu, dalam keterujaan menyambut kelonggaran PKPP itu, komitmen dalam mematuhi SOP dan tingkatkan kawalan kendiri, rakyat Malaysia dijangka boleh memutuskan kadar jangkitan COVID-19 tanpa penggunaan vaksin sekali pun. Hanya dengan cara itu kita akan dapat membantu kerajaan menuju strategi keluar, sekali gus bebas daripada wabak berkenaan.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 55 kali.


Kembali ke Atas