Berita

Kuantan Tuan Rumah Persidangan KPPSM

peNA eJs

Mengumpulkan lebih 350 penghulu penggawa dari seluruh pelusuk Malaysia, persidangan ini dilihat turut digunakan sebagai program yang dapat mengukuhkan talian silaturrahim antara mereka.

KPPSM Cawangan Pahang selaku tuan rumah telah mengaturkan program merangkumi siri taklimat, program mesra kasih, ziarah makam diraja dan tahlil serta diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil di daerah Pekan, Bandar Diraja.

Acara perasmian yang disempurnakan oleh Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Abdul Rahman AlHaj Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah turut mencatat kenangan manis barisan delegasi penghulu penggawa yang hadir.

Titah perasmian baginda, antara lain turut mengharapkan agar hubungan yang sedia terjalin dapat diteruskan kerana melihat kepentingan ini menjadi faktor utama kepada mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman.

Rasa kasih sayang dan mengambil berat antara satu sama lain turut menjadi medan utama kepada pengukuhan hubungan antara rakyat dan institusi diraja.  

Ini dapat dibuktikan dengan pelantikan penghulu sebagai Ahli Jumaah Pangkuan yang bertanggungjawab dalam semua adat istiadat diraja di Balairung Seri atau istana yang melibatkan majlis dihadiri Sultan.

Majlis Santapan / Jamuan Malam sempena Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan KPPSM Kali Ke-45/2019 yang turut mendapat kerjasama PDT Kuantan berlangsung dengan meriah turut mencatatkan kehadiran barisan Ketua-ketua Jabatan Negeri Pahang.

Program diteruskan dengan delegasi disaji dengan isihan dan kupasan isu yang telah disampaikan melalui siri taklimat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta perkongsian daripada Yayasan Wakaf Malaysia.

Wacana PDRM dan SPRM turut merangkumi bidang tugas dan penglibatan golongan pemimpin masyarakat ini dalam memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan mengikut batas undang-undang dan prosedur kerja yang betul dan tidak terpesong. Bagi memberi gambaran ringkas, penghulu penggawa turut diberi penerangan tentang pelbagai isu dan masalah yang dapat dijadikan panduan sebagai rujukan.

Ringkas dan padat perkongsian dari Yayasan Wakaf Malaysia turut memberi gambaran tentang tanggungjawab dan peranan penghulu penggawa dalam membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat menerusi tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik.

Pengisian program pada 29 September 2019 telah diatur dengan Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin sempena kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda KDYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah.

Majlis berlangsung dalam suasana yang harmoni dan tenang secara tidak langsung dapat mengimbau dan mengingat kembali jasa Almarhum Paduka Ayahanda yang sinonim terhadap masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang.

Delegasi seterusnya dibawa untuk lawatan ke Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan yang menyimpan dan mempamerkan kebudayaan serta sejarah tempatan. Menjadi salah satu ikon pelancongan Pahang, muzium menjadi tempat rujukan dalam mempamerkan entiti kebudayaan tempatan serta berfungsi dalam menjaga monumen lama dan tempat bersejarah.

Usai lawatan, peserta seterusnya diraikan dalam Majlis Penutup yang dirasmikan oleh wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, YB Dato’ Abdul Aziz b Mat Kiram, Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang.

Kenangan dan memori sepanjang persidangan ini pastinya akan kekal di ingatan kerana pengalaman yang diperoleh pasti tidak akan dapat diganti dengan yang lain. Tidak sekadar dapat bertukar pandangan dan berkongsi pendapat sesama rakan setugas, program sebegini pasti menjadi titik tolak kepada pengukuhan persaudaraan yang tulus demi perpaduan masyarakat yang kukuh dan bersatu padu. 

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 13 kali.


Kembali ke Atas