Berita

Lawatan Tapak Ke Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP)

peNA eJs

KUANTAN, 16 April 2018 - Lawatan tapak ke Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang yang telah diadakan bersama Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKB, JKKR dan JPP daerah Kuantan. Kerajaan Negeri diwakili oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato' Suhaimi b Mohd Yunus juga telah diberi penerangan ringkas serta diiringi ke sekitar tapak perindustrian tersebut. 

YH. Dato' Suhaimi bersama Pegawai Daerah Kuantan pada sesi taklimat sempena lawatan tapak tersebut

Dalam ucapan En. Arizan Arifin, Pengurus Besar Bahagian Pelaksanaan Projek, kerjasama yang erat bersama kerajaan negeri Pahang adalah antara faktor bagi merealisasikan MCKIP. Pelaksanaan projek berimpak tinggi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjadi pintu gerbang kepada para pelabur. 52 peratus projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)adalah di Negeri Pahang dan secara tidak langsung menjadikan pelabuhan Kuantan sebagai pintu gerbang utama ECER. Fasa pertama terminal laut dalam pelabuhan Kuantan dijangka akan mula beroperasi pada suku ketiga 2018.

Susulan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Pahang kini muncul sebagai sebuah destinasi pilihan yang berdaya saing dan berdaya tahan untuk pelabur.  Kerajaan Persekutuan akan terus melabur dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dan infrastruktur strategik untuk terus memudahcara dan merangsang pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu untuk rakyat melalui peningkatan pelaburan dan pertumbuhan sosio-ekonominya. Pembangunan pembinaan landasan rel ke pelabuhan Klang (Fasa 2 ECRL) akan merealisasikan potensi pelabuhan Kuantan sebagai hab logistik.



Keluasan pelabuhan Kuantan sebagai sebuah pelabuhan laut dalam yang berupaya mengendali 52 juta tan kargo dan menerima kapal sehingga 200,000 tan berat muatan (DWT) akan menjana pertumbuhan industri dan penglibatan pelabur di Kuantan dan ECER.

MCKIP telah dilancarkan pada tahun 2013 dan merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan bersama oleh Malaysia dan China. Ia diberi status “Taman Perindustrian Nasional” dan merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan China-Malaysia. MCKIP menyasarkan industri berteknologi tinggi termasuk teknologi penjimatan tenaga dan mesra alam sekitar, tenaga alternatif dan boleh diperbaharui, pengeluaran peralatan canggih dan pembuatan bahan termaju yang menawarkan 19000 peluang pekerjaan bagi pekerja tempatan. Secara tidak langsung juga ianya memberi peluang perniagaan kepada lebih 1900 usahawan tempatan. 

Alliance Steel (M) Sdn Bhd yang membina kilang keluli bersepadu moden merupakan projek ikon tanda kekukuhan perdagangan dua hala Malaysia-China dan Pelabuhan Kuantan yang menyediakan lebih 3,500 peluang pekerjaan.  

Dalam ucapan Timbalan SUK (Pembangunan), YH. Dato' Suhaimi menegaskan Alliance Steel (M) Sdn Bhd telah melabur lebih RM4 bilion bagi memastikan ianya dapat merangsang lebih banyak projek infrastruktur dan sosio ekonomi penduduk tempatan. Peluang pekejaan yang ditawarkan di sini diharap dapat digunakan sepenuhnya kerana ini secara tidak langsung dapat menaikkan taraf ekonomi penduduk sekitar. Usaha pembangunan MCKIP amat penting kerana ianya dapat mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap ECER sebagai destinasi pelaburan yang menarik. 

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 93 kali.


Kembali ke Atas