Berita

Majlis Berbuka Puasa Dan Pengurniaan Sumbangan

peNA eJs

KUANTAN, 19 Mei 2018 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah berkenan menyantuni majlis berbuka puasa dan pengurniaan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Masjid Kampung Paya Bungor seawal 4 Ramadhan 1439 Hijrah.

Turut mengiringi baginda, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis yang sama, Tengku Abdullah mengampuni limpah perkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan peribadi baginda dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 150 orang golongan yang memerlukan. Antara penerima sumbangan adalah terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin, warga emas, ibu tunggal dan golongan orang kurang upaya yang menerima wang tunai, pelbagai barang keperluan harian serta kuih raya.

Tengku Abdullah turut perkenan untuk menyempurnakan sumbangan berbentuk kurniaan duit raya kepada kira-kira 50 orang kanak-kanak.

Hadir sama, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Abdul Rahim Muda, YB Mohd Fakharuddin Mohd Ariff, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Sri Haji Ishak Muhammad, Timbalan Yang DiPertua Muip, YDH Dato’ Sri Haji Wan Abdul Wahid Wan Hassan dan Ahli Parlimen Paya Besar, YB Shahar Abdullah.

Antara tetamu lain yang tutut memeriahkan majlis, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Mohamad Roslan Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing, YB Dato’ Suhaimi Mohd Shah, Sahibus Samahah Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman serta tidak ketinggalan Pegawai Daerah Kuantan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli.

Dalam majlis tersebut, Tengku Abdullah bertitah, “Janganlah ada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan rasa kurang selesa dengan bertindak mewujudkan ketegangan dan permusuhan di kalangan rakyat sehingga boleh menjejaskan semangat permuafakatan dan perpaduan. Sesungguhnya semua pihak perlu mengenepikan sebarang sentimen emosi dan terus mengekalkan keharmonian kaum serta saling menghormati dan bertoleransi di antara satu sama lain”.

Titah baginda, kemelut berlainan ideologi politik khususnya pemimpin Islam boleh diselesaikan dengan tekad semua pihak bersatu hati di rumah Allah yang suci dengan pendekatan taqwa.

Tengku Abdullah juga menzahirkan rasa gembira dengan semangat kekitaan semua pihak dalam memantapkan usaha-usaha mendaulatkan syiar Islam khususnya di bulan Ramadan.

Pada akhir titah, Tengku Abdullah menyeru rakyat baginda agar meningkatkan amalan dan ketakwaan di bulan Ramadan. Baginda seterusnya mengingatkan agar jangan terlalu ghairah dalam mengejar agenda tertentu sehingga mengorbankan perpaduan negara kerana tindakan sedemikian boleh membawa kepada kehancuran negara. 

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 31 kali.


Kembali ke Atas