Berita

Jenazah Paduka Ayahanda Selamat Dimakamkan

peNA eJs

Suasana sayu menyelubungi Makam Diraja semasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah dan adinda baginda Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman masing-masing meletakkan batu nesan di pusara ayahanda yang disemadikan bersebelahan pusara isteri baginda Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad (mangkat pada 29 Jun 1988).

Terdahulu, jenazah Almarhum yang ditempatkan di persada di tengah-tengah Balairung Seri Istana Abu Bakar juga tidak putus-putus diziarahi rakyat Pahang sejak 11 malam tadi sehingga sesi ziarah orang awam ditamatkan pada 10.30 pagi.

Jenazah Almarhum kemudian diusung keluar dari Balairung Seri pada pukul 1.45 tengah hari oleh pasukan tentera darat, laut dan udara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menaiki van jenazah pada pukul 2.20 petang.

Setelah sempurna diletakkan di dalam kenderaan berkenaan, kawalan kehormat memberikan Hormat Diraja sebagai penghormatan kali terakhir Almarhum diikuti lagu Negeri Pahang. ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’.

Setelah selesai, kawalan kehormat memberikan‘tafakur junam senjata’ sebelum kenderaan berkenaan mula bergerak meninggalkan perkarangan Istana Abu Bakar pada pukul 2.35 petang.

Sultan Abdullah dan anakanda bongsu Almarhum Tengku Arif Temenggong Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah turut menaiki kenderaan berkenaan untuk menemani perjalanan terakhir Almarhum ke Masjid Sultan Ahmad Shah.

Serentak dengan itu juga tembakan meriam sebanyak 88 das dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh di Selangor bersempena usia Almarhum Baginda, sebagai simbolik mengiringi pemergian Baginda untuk istiadat pemakaman. 

Usai istiadat pemakaman, Mufti Pahang Dato' Sri Dr Abdul Rahman Osman membacakan talkin dan terdahulu mengetuai solat jenazah terakhir buat Almarhum yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah. 

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun.

BERNAMA

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 16 kali.


Kembali ke Atas