Berita

Rakyat Pahang Memuliakan Keberangkatan Al-Sultan Abdullah

peNA eJs

Baginda berdua memakai persalinan sedondon berwarna biru firus berangkat dari Istana Abdulaziz pada jam 7.10 pagi dengan diiringi Tengku Mahkota Pahang yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Turut sama mengiring Menteri Besar Pahang Dato' Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selaku menteri pengiring.

Keberangkatan baginda dan rombongan tiba di Pangkalan Udara Kuantan kira-kira setengah jam kemudian disambut dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ oleh rakyat jelata yang berdiri di kiri dan kanan jalan berkenaan sambil mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang.

Terpancar kegembiraan dan rasa bangga sebagai rakyat Pahang dapat menjadi saksi yang terukir dalam lipatan sejarah negara menyaksikan istiadat ini.

Keberangkatan Al-Sultan Abdullah serta Tunku Azizah disambut dengan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku.

Tembakan Meriam Kehormatan sebanyak 21 das juga dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ketua Pasukan Kawalan Kehormatan tampil memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memeriksa kawalan kehormatan.

Kawalan Kehormatan Utama seterusnya mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ lagu Negaraku buat kali kedua dan diiringi doa selamat memohon keberkatan agar perjalanan baginda dirahmati Allah yang dipimpin oleh Mufti Pahang, Dato' Seri Abdul Rahman Osman.

Pesawat khas yang membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berlepas pada 8.34 pagi untuk penerbangan kira-kira 45 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 26 kali.


Kembali ke Atas