Berita

PDT Kuantan Jayakan Taklimat Bancian 2020

peNA eJs

Taklimat Penggunaan Sistem PopStas Menuju Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dihadiri lebih 50 jemputan di kalangan MPKK daerah Kuantan. Taklimat telah diadakan di Bilik Gerakan PDT Kuantan dan dipengerusikan oleh Penghulu Mukim Kuala Kuantan I, Encik Mohd Razaki b Abdul Razak. 

Selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, sistem aplikasi eCensus dijangka mula dilaksanakan pada Julai 2020 nanti. Program bancian penduduk dan perumahan bagi rakyat Malaysia ini akan dijalankan di semua kawasan perumahan dan kediaman seluruh tanahair. Pelaksanaan Banci 2020 adalah merujuk kepada peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969) yang turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

Melalui transformasi pelaksanaan selaras dengan perkembangan teknologi, jabatan berkenaan akan merancang untuk mengumpul kebanyakan maklumat banci secara atas talian menerusi laman web dan aplikasi mudah alih.

Berdasarkan Akta Banci 1960 (disemak 1969) mewajibkan semua orang awam untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan banci yang dikemukakan dan ini adalah bertujuan untuk mengumpul stok & profil penduduk dan perumahan meliputi ciri-ciri demografi dan sosio-ekonomi sehingga ke peringkat geografi terkecil.

Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan adalah penting bagi mengenalpasti saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia. Maklumat yang diperoleh akan digunakan untuk merancang, menggubal dan melaksanakan polisi Kerajaan Malaysia untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan.

Peningkatan terhadap keperluan statistik kesan daripada perubahan pantas struktur ekonomi dalam dan luar negara serta perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah mewujudkan kelompok komuniti pengguna yang sentiasa menuntut penjanaan maklumat yang berintegriti, bertepatan dan relevan. Keperluan komuniti pengguna yang dinamik dan kompleks memberi cabaran untuk memastikan fungsi memungut, mentafsir dan menyebar perangkaan dilaksanakan dengan lebih efisien.  Kebolehcapaian pengguna kepada pelbagai data melalui laman web ini juga disediakan dengan kemudahan muat turun secara percuma. Pembangunan portal pengguna yang mesra pengguna adalah faktor yang penting kepada sokongan dan kerjaama semua lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam proses pembancian yang dilaksanakan.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 20 kali.


Kembali ke Atas