Berita

Program Ziarah Kebajikan PUSPANITA Negeri Pahang

peNA eJs

Terletak di DUN Inderapura, Kampung Belukar dan Kampung Kurnia, Kuantan menjadi lokasi ziarah kasih pada kali ini. Dengan membawa matlamat utama program ziarah kebajikan ini untuk menunjukkan keprihatinan, memupuk rasa kekeluargaan serta mengeratkan silaturrahim, pelbagai bentuk sumbangan disampaikan kepada keluarga terpilih. Sebanyak enam (6) keluarga pesara kerajaan serta dua (2) keluarga yang kurang berkemampuan telah terpilih bagi Program Ziarah Kebajikan PUSPANITA pada kali ini.


Program Ziarah Kebajikan PUSPANITA bersama Ybhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ybhg. Puan Sri Datuk Seri Rohani Abdullah ini juga menitikberatkan kesedaran kepada masyarakat amnya dan ahli PUSPANITA khususnya dalam kepentingan hubungan bersama komuniti. Program ini juga memberi impak positif kepada ahli PUSPANITA dari segi kemahiran insaniah. Ianya sekaligus selari dengan Wawasan 2020 yang ketujuh iaitu melahirkan masyarakat yang penyayang dan budaya menyayangi iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan yang tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan.

Program Ziarah Kebajikan PUSPANITA ini turut melibatkan badan kerajaan yang ingin turut serta dalam menyumbang bakti dan kebajikan bersama pesara kerajaan serta golongan yang memerlukan bantuan ini. Antara jabatan yang turut mengambil bahagian termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSUK), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Turut sama mengiringi Penasihat PUSPANITA Kebangsaan dalam Program Ziarah Kebajikan PUSPANITA ini adalah Dato' Sri Muhammad Safian bin Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang yang juga Penasihat PUSPANITA Pahang bersama isteri, Datin Sri Dato┬┤ Indera Jamaliah binti Zainal Abidin.

Beliau sebagai Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Pahang bersama ahli jawatankuasa lain turut sama dalam Program Ziarah Kebajikan PUSPANITA ini sebagai tanda sokongan dan prihatin terhadap penerima sumbangan yang terpilih.

Keluarga pesara kerajaan yang ditemui rata-rata merasa sangat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan. Mereka yang memerlukan bantuan alatan perubatan seperti kerusi roda dan tongkat ini teruja apabila menerima kunjungan tersebut.

Bagi keluarga yang dikunjungi di Kampung Kurnia pula, mereka memohon untuk kerja-kerja naik taraf longkang di hadapan rumah serta bantuan perubatan juga. Segala bentuk sumbangan yang diterima ketika program tersebut akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Program Ziarah Kebajikan PUSPANITA ke Negeri Pahang ini dilihat berjaya mencapai misi dan matlamatnya dalam menyusuri liku kehidupan golongan yang tidak bernasib baik. Segala sumbangan yang diberikan amat bermakna dan seharusnya menjadi amalan berterusan demi memastikan golongan ini tidak disisihkan masyarakat sekeliling serta turut sama dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.  

Pihak JKKK yang terlibat juga harus dipuji atas sifat keprihatinan mereka menangani masalah serta sikap mengambil berat meraka harus mendapat pujian.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 78 kali.


Kembali ke Atas