Berita

Sambutan Kemerdekaan Di Kuantan Meriah

peNA eJs


Jalan Mahkota yang mula sibuk dengan kehadiran warga Kuantan sedari jam 6 pagi lagi mula kian terasa.  Sambutan rasmi yang hanya bermula pada jam 9 pagi itu turut disertai 4,296 peserta dari 86 kontinjen membabitkan pelbagai kategori antaranya, sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan serta sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menyaksikan perbarisan serta memberi tabik hormat buat kontinjen yang berarak. 

Orang ramai begitu teruja bagi menantikan perarakan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan pastinya menjadi sejarah dan kenangan yang tidak akan dapat dilupakan. Sambutan 62 tahun kemerdekaan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan EXCO Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Kehadiran lebih 10,000 warga Kuantan ke sambutan kemerdekaan pada kali ini yang membawa tema Sayangi Malaysiaku:Malaysia Bersih turut diberi tumpuan kepada pengisian  Program Engagement Kebersihan.  Kempen dan penerangan serta edaran flyers tentang pentingnya menjaga kebersihan oleh pihak SWCorp bagi sama-sama menjaga kebersihan bandar Kuantan turut menarik perhatian orang awam. 


Antara kakitangan PDT Kuantan yang bertugas sempena sambutan Kemerdekaan Ke-62  

Dari sudut perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62 yang penuh bersejarah ini, Kontinjen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang muncul juara. Dengan mengenakan baju korporat putih dan bertanjak mereka berjaya menarik perhatian orang ramai yang hadir dan para juri selepas mempamerkan aksi perbarisan yang penuh bersemangat dan teratur.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 23 kali.


Kembali ke Atas