Berita

Istiadat Sambutan Pulang Meriah Di TUDM Kuantan

peNA eJs


Pesawat Khas yang dinaiki baginda berdua berangkat lepas dari Pangkalan Udara Adisucipto, Yogyakarta selamat mendarat pada jam 12.33 tengahari, di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan.

Sambutan keberangkatan pulang penuh dengan simbolik kedaulatan turut menyaksikan Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan. Meriah dan penuh dengan upacara sambutan kepulangan Seri Paduka Baginda disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang dan isteri YAM Tengku Puteri Seri Teja Pahang Puan Sri Hjh Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Hj Ahmad Shah.

Sebaik turun dari pesawat baginda berdua bersalaman sebelum menuju ke pentas khas Pangkalan Udara TUDM Kuantan bagi Istiadat Menyambut Keberangkat Tiba Lawatan Negara selepas tiga hari ke Indonesia bermula 26 Ogos 2019 yang lalu bagi mengukuhkan lagi keakraban kedua-dua negara. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menerima tabik hormat diraja dan kemudiannya berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota lain-lain pangkat TUDM.

Turut memuliakan keberangkat tiba Al-Sultan Abdullah ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Isteri, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, barisan EXCO Kerajaan Negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sahibus Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Haji Osman memimpin bacaan doa sebelum Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat lepas meninggalkan Pangkalan Udara TUDM Kuantan ke Istana Abdulaziz.

Manakala pada sebelah petang, baginda berdua akan mencemar duli berangkat ke Majlis Tahlil 100 Hari Kemangkatan Al-Marhum Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di masjid negeri, Masjid Sultan Ahmad 1.

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 6 kali.


Kembali ke Atas