Kuantan 188


Keunikan namanya seunik menara yang merupakan menara ikonik tertinggi di Pantai Timur. Dalam lipatan sejarah tetap gah sebagai menara ikonik kedua tertinggi di Malaysia. Kebanggaan warga Kuantan kini tertumpu pada Menara Kuantan 188 ini yang telah siap dibina pada September 2019.

Menjadi sebahagian daripada projek Kuantan Water Front, Kuantan 188 menjadi tumpuan orang ramai dari pelusuk negara dengan konsep reka bentuknya yang tegak dan tirus umpama lembing. Pengunjung boleh menikmati pemandangan keseluruhan Bandaraya Kuantan serta persisiran Sungai Kuantan. Dengan ketinggian dari aras 92 hingga 104 meter, sudut landskap dan panorama menarik dapat dijamah dengan lensa kamera yang pasti menggamit kenangan indah sewaktu mengunjungi Bandaraya Kuantan.

Reka bentuk Anjung Menara adalah berdasarkan inspirasi daun dan bunga pokok Teruntum Putih cukup gah untuk dipotretkan. Anjung Tinjau Terbuka yang berada pada aras 104 meter menjadi tumpuan bagi outdoor viewing dengan kapasiti 12 orang pada satu-satu masa. Selain dapat menyaksikan panorama pemandangan 360 darjah di Anjung Tinjau pada aras 92 meter, Kuantan 188 juga dilengkapi dengan restoran yang boleh menampung sehingga 80 orang pengunjung. 

Tarikh Kemaskini: 10/11/2022 16:28:30

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 40 kali.


Kembali ke Atas