Perutusan Pegawai Daerah



PERUTUSAN PEGAWAI DAERAH KUANTAN
        

Salam ukhwah dan penuh keharmonian tahun baharu 2023 yang gah membuka tirainya. Dipanjatkan penuh kesyukuran atas pengurniaan kehidupan yang penuh kesejahteraan serta dilimpahi rahmatNYA.

 Doa dan harapan semoga tahun 2023 ini bakal membuka lembaran yang gemilang untuk semua agar dapat melaksanakan agenda perancangan kerja dengan lebih berkesan dan dinamik.

Penghargaan ribuan terima kasih kepada seluruh warga kerja PDT Kuantan yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sepanjang tahun lalu.

Mudah-mudahan kedatangan tahun 2023 ini, dapat disambut dengan satu tekad dan niat yang ikhlas untuk bekerja keras secara berpasukan dan semangat yang kental. Warga kerja PDT Kuantan diharap dapat terus menitikberatkan kod dan etika penjawat awam bagi memastikan tadbir urus dan budaya integriti dapat digarap dalam perkhidmatan yang menjamin kepada kecemerlangan.

Tahun 2022 merupakan tahun yang penuh bersejarah buat kita semua dengan dihujani pelbagai anugerah penghargaan kejayaan dan kecemerlangan. Tidak dapat disangkal juga, kita diuji dengan pelbagai dugaan termasuklah ancaman COVID-19 yang berterusan, bencana alam serta elemen kejutan dalam cuaca politik negara yang penuh bersejarah.

Oleh itu, adalah diharapkan agar kita semua sentiasa bersiap siaga dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat selaku pemegang taruh terbesar tak kira apa jua situasi yang melanda.

Rentetan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi sepanjang tahun 2022 menerusi amalan baik ini perlu dikekalkan. Tanpa usaha gigih dan ikhtiar, tiada istilah penat dan jemu, pengamalan disiplin yang tinggi dan peningkatan kepakaran dalam bidang masing-masing di samping menjana ilmu-ilmu baharu perlu diteruskan demi kebaikan bersama.

Warga kerja PDT Kuantan haruslah bersama-sama  membenih budaya perpaduan dan membenam secangkir kebencian dengan sikap berkasih sayang dan juga rahmah. Usaha membenih dan menyemai budaya perpaduan ini tidak hanya terletak di bahu pemimpin, tetapi setiap warga kerja PDT Kuantan mesti memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu. Organisasi pada hari ini berdepan dengan cabaran globalisasi yang memerlukan suasana kerja yang efektif kerana ianya mampu membawa kepada komitmen terhadap organisasi.

Kepimpinan transformasi juga dituntut bagi memastikan warga kerja mendapat motivasi dan komitmen. Ini menjadi penyebab kepada dorongan usaha tambahan yang diperlukan untuk perubahan penting organisasi. Pemimpin transformasi akan memberi inspirasi kepada pekerja dengan cara berkongsi misi dan visi yang menggalakkan keyakinan pekerja dan mencapai jangkaan mereka.

Telah diketahui umum, pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan transformasi merupakan pemimpin yang mempunyai budaya kerja yang cemerlang, berpandangan jauh, berwawasan, pemangkin dan menyediakan hala tuju strategik untuk organisasi. Inilah yang harus diteladani demi menjadi tunjang kepada masa depan yang mampan.

Kedatangan tahun 2023 pastinya memberi cabaran baharu kepada seluruh warga PDT Kuantan selari dengan agenda bagi memperkasakan perkhidmatan awam. Sebagai warga kerja yang peka dan sensitif dengan kehendak masyarakat dan gigih mendepani cabaran pada era dunia tanpa sempadan, semua lapisan kakitangan perlu meletakkan diri sebagai pemimpin yang mampu berfikir secara kreatif dan optimis.

Bersama-samalah kita berusaha untuk memperkasakan PDT Kuantan agar sentiasa disegani dan terus dihormati serta dilihat empunya daya saing yang tinggi dalam perkhidmatan awam ini.

Akhir kata, saya percaya dan yakin bahawa Portal Rasmi ini akan menjadi wadah rasmi dua hala dalam penyampaian maklumat yang lebih berkesan serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga tahun ini akan menjadikan kita semua penjawat awam yang lebih cemerlang, berinovatif dan berdedikasi serta penuh tanggungjawab demi memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara tercinta.

Sekian, terima kasih.



Tarikh Kemaskini: 09/01/2023 09:46:13

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 12452 kali.


Kembali ke Atas