Berita
Kejutan PRU Ke 15
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) kali ini bukan saja menyaksikan kerajaan negeri Pahang tidak dapat dibentuk susulan keputusan menunjukkan tiada mana-mana parti di negeri itu mendapat majoriti mudah, namun beberapa nama besar dan calon pilihan yang bertanding di Parlimen gagal mendapat mandat rakyat.
PN mampu tersenyum lebar apabila berjaya merampas dan meluaskan pengaruh di tujuh kawasan terutama di wilayah Pahang Barat selepas menang di Parlimen Jerantut, Maran, Kuala Krau, Kuantan dan Temerloh.
Mandat kerusi Indera Mahkota kekal diberikan kepada penyandang sebelum ini, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi PN Pahang selain berjaya merampas Rompin dari BN. Kemungkinan besar buat kali pertama dalam sejarah, kerajaan negeri Pahang akan diketuai parti gabungan yang diketuai PN atau BN walaupun setakat ini, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi yang dibuat BN dan PN untuk menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.
Walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menang selepas meraih 10,092 undi menewaskan dua lagi pencabarnya namun masih menjadi teka teki parti yang akan membentuk dan mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Pahang. Namun, tumpuan kini terarah kepada parti yang akan bergabung dan bakal mengetuai pentadbiran kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Kembali ke Atas