Berita

​Kenyataan Media YAB MB Pahang : Saranan Dapat Kurangkan Beban Tanggungan

peNA eJs


Bagi isu berkaitan berikut adalah kenyataan media YAB MB Pahang :- 

1. Sukacita saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperkenalkan beberapa lagi langkah dalam menangani wabak Pandemik COVID-19 dan untuk mengurangkan beban tanggungan kepada golongan yang hilang punca pendapatan khususnya dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Antaranya ialah :-

i) Menyediakan peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri dan GLC sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 sepanjang tempoh 14 hari.

Agihan peruntukan khas ini akan diperincikan kemudian.

ii) Kerajaan Negeri juga akan mempercepatkan Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri yang melibatkan 2,895 penerima.

Ini bermakna, Bayaran Bantuan Am (Peruntukan Kerajaan Negeri) untuk bulan April akan dipercepatkan pembayarannya pada 27 Mac 2020 ini.

iii) Bagi meringanan beban penyewa premis perniagaan PKNP, pihak PKNP akan memberikan kelonggaran tempoh bayaran sewaan premis.

iv) Kerajaan Negeri juga menetapkan bahawa, Pekerja Sambilan Harian (PSH) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang akan tetap menerima elaun penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

v) Bagi bersama-sama menzahirkan keperihatinan terhadap situasi yang dihadapi oleh negara kini, Kerajaan Negeri menyarankan orang ramai dan syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini supaya membuat sumbangan untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan ini.

Mekanisme sumbangan oleh orang ramai dan syarikat-syarikat ini akan ditentukan oleh Pejabat Kewangan Negeri.

Saya percaya, sebagai warganegara dan warga korporat yang bertanggungjawab serta prihatin terhadap isu yang sedang melanda negara dan negeri, saranan ini akan disambut dengan sebaik-baiknya, In Syaa Allah.

2. Sukacita juga saya ingin memaklumkan bahawa pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar di Maran telah bersetuju dengan pandangan Kerajaan Negeri agar upacara tahunan penyembahan dan penyucian jiwa atau ‘Al Pangguni Alaayam’ yang dijadualkan berlangsung di kuil tersebut pada 6 dan 7 April ini, ditangguhkan.

Menerusi penangguhan ini, tidak berlakulah pergerakan keluar-masuk sehingga kira-kira 120,000 orang penganut di perkarangan kuil tersebut. Dengan itu, langkah ‘pre-emptive’ yang berkesan dapat dilaksanakan bagi membendung wabak Pandemik COVID-19 ini.

Mengambil kesempatan ini, sukacita saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pengurusan Kuil Sri Marathandavar, atas keprihatinan dan persetujuan mereka dengan penangguhan ini.

3. Sukacita juga saya maklumkan, akan ada beberapa lagi langkah dan inisiatif yang akan diperkenalkan bagi terus menangani wabak Pandemik COVID-19 dan juga untuk meringankan beban yang dihadapi oleh rakyat yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

4. Semoga dengan ini, usaha kita bersama-sama untuk menangani seterusnya mengatasi wabak Pandemik COVID-19 ini akan berjaya, In Sya Allah.

YAB DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL Menteri Besar Pahang 19 Mac 2020

Halaman ini sudah dipaparkan sebanyak 103 kali.


Kembali ke Atas