Berita
Serah Kunci RRP Daerah Kuantan - Hadiah Tahun Baru
Telah sedia maklum, sumber kewangan bagi pembinaan RRP ialah daripada dana Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) dan sumbangan kerajaan negeri. Kos bagi pembinaan RRP adalah dianggarkan sebanyak RM65,000.
Ini adalah bukti Kerajaan negeri sentiasa mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan bagi menyediakan rumah yang selamat dan selesa kepada golongan B40 yang tidak memiliki rumah atau rumah yang sedia ada berada dalam keadaan daif dan tidak selamat diduduki. Demi kemakmuran rakyat setempat, lebih banyak lagi projek seumpamanya akan dilaksanakan.
RRP ialah cambahan kepada beberapa projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Pahang sebelum ini.
Penerima RRP di Kg Gudang Rasau, En Abdul Rahim b Abu Bakar turut diiringi Pengerusi JKKK Kg. Gudang Rasau, En Tarmizi b Mohd Yusof serta Penghulu Mukim Kuala Kuantan 1, En Roslan b Amat. Jabatan Pertanian juga telah menyumbangkan anak-anak pokok untuk ditanam. Penyerahan kunci telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Kuantan turut disaksikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah (PLB), En Azlan b Che Adnan. Kehadiran ADUN Inderapura, YB Dato' Sri Haji Shafik Fauzan b Sharif juga turut bersama Dato' Sri Ab Hamid Nazahar.
Penyampaian kunci rumah RRP seterusnya ke Kg Cherok Paloh di bawah seliaan Penghulu Mukim Penor, En Mohamed Hafizal bin Mohamed Shah. En Mat Nor b Mat, usia melewati 90 tahun dan berkerusi roda dijaga oleh anak-anaknya hanya mampu tersenyum dan terharu dengan penerimaan rumah baharu ini. Langsung tampak keceriaannya terserlah apabila bercerita yang beliau dan keluarga akan mula berpindah hari esok juga. Keuzuran rumah sedia ada tidak mampu digambarkan. Semoga dengan pemberian rumah daripada Kerajaan Negeri ini dapat menceriakan seluruh ahli keluarga En Mat Nor.
Perjalanan bagi serahan kunci seterusnya adalah ke Kg Peramu. di bawah naungan DUN Tanjung Lumpur, . Bertemu dengan penerima seterusnya, En Abdullah b Hussein. Meninjau keadaan rumah baharunya, En Abdullah merasa sangat bertuah diberi peluang untuk mengubah corak hidupnya. Ucapan terima kasih tidak lekang dari bibirnya. Sudah cukup menggambarkan rasa kesyukuran dan bertuah atas pembinaan rumah ini. Turut bersama Pegawai Daerah Kuantan adalah YB Tn Haji Rosli b Abdul Jabar (ADUN Tanjung Lumpur), Pengerusi JKKK Kg Peramu, En Baharuddin b Sulong serta barisan AJK JKKK. Sumbangan anak-anak pokok daripada Jabatan Pertanian juga turut disampaikan seperti mana penerima terdahulu.
Penyerahan kunci rumah yang terakhir pada siri ini adalah di Kg Alor Batu, Mukim Sg Karang. Penghulu Mukim Sg Karang, En Ahmad Faizul Rahimi bin Dato' Abu Ishak turut bersama ADUN Beserah, YB Andasura Rabu dalam majlis penyerahan kunci ini. Penerimanya Pn Temah @ Jarah bt Mamat yang telah mencecah usia 65 tahun, masih berupaya menjaga suaminya yang uzur. Kehidupannya dirasakan cukup bertuah kerana akan membina rumah atas tanah sendiri dan hidup berjiran dengan anak dan menantunya.
Semoga penyerahan kunci rumah RRP ini dapat memberi sinar baru buat semua. Layari https://www.facebook.com/Pejab... untuk berkongsi kegembiraan bersama penerima kunci rumah projek ini.
Kembali ke Atas