Berita
Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Pahang Atas Talian
Ikuti teks ucapaan YB SUK sempena program ini
Sedar atau tidak, PKP yang bermula pada 18 Mac 2020 telah memasuki minggu ke-9 dengan anggota masyarakat terus membudayakan norma baharu dalam semua aspek kehidupan.
Pembudayaan norma baharu telah mengubah banyak perkara serta landskap keseluruhan negara termasuk sektor ekonomi, pentadbiran negeri dan juga sosial kehidupan seharian. Natijahnya, pelaksanaan segera terhadap penyesuaian norma baharu perlu disegerakan memandangkan masyarakat akan terus melalui kehidupan bersama dengan virus COVID-19 ini.
Pentadbiran Kerajaan Negeri memberi tumpuan khusus dalam memastikan usaha pemulihan Negeri Pahang ketika pasca wabak COVID-19 iaitu pemulihan ekonomi dan pentadbiran Negeri Pahang.
Kerajaan Negeri mula merangka perancangan serta pelan pemulihan ekonomi sedari PKP Fasa II namun perlu dibuat penilaian semula bagi memastikan pelaksanaannya pada masa akan datang.
Pada tanggal 12 Mei 2020, YAB Menteri Besar Pahang yang mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang telah memutuskan untuk memberi penekanan kepada 3 hala tuju utama iaitu memajukan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memakmurkan Negeri Pahang.
Antara lain, strategi yang dipersetujui adalah mengoptimumkan perkhidmatan awam. Sebagai pendokong Kerajaan Negeri, penjawat awam perlu memastikan ekonomi sentiasa dijana demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Pahang.
Tindakan segera perlu diambil dengan mengambil kira kesesuaian dengan corak dan perubahan ways of doing business bagi mengenal pasti dan melaksanakan kaedah untuk menghasilkan output yang hampir sama sebelum penularan wabak COVID-19 ini.
Ketersediaan penjawat awam untuk berkerja dalam kebiasaan baharu dengan mengikut garis panduan tatacara tempat kerja sepanjang PKPB ini. Elemen yang diserapkan perlu seimbang dengan keperluan pentadbiran perkhidmatan kerajaan disamping memastikan keadaan kesihatan penjawat awam terjaga.
Saranan yang digariskan pihak KKM perlu terus dipatuhi termasuk penjarakan sosial, kekal memakai penutup mulut dan hidung serta kekerapan mencuci tangan.
Cakna perihal penjarakan sosial dilihat sebagai saranan yang paling sukar untuk dipatuhi memandangkan kakitangan yang ramai serta ruang kerja yang terbatas. Penyesuaian perlu dirangka segera bagi memastikan prosedur ini dipeduli penjawat awam.
Sehubungan dengan itu, mengoptimumkan sumber manusia sedia ada tanpa kehadiran fizikal di lokasi dan mengubah konsep ruang kerja adalah perlu diberi perhatian segera dan drastik.
Aplikasi digital percuma atas talian bagi mengadakan perbincangan dan mesyuarat terlalu banyak untuk dibuat pilihan. Kaedah ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kadar kebolehcapaian terhadap sesuatu agensi malah turut menyumbang kepada pencegahan penularan wabak COVID-19.
Aktiviti mesyuarat tanpa bersemuka dengan tidak hadir secara fizikal ini dilihat dapat memberikan impak yang besar. Secara tidak langsung penjimatan kos turut dirasai. Tiada lagi kehadiran fizikal bila mesyuarat yang melibatkan lebih dari 10 orang ahli.
Bagi merealisasikannya, Kerajaan Pahang dalam proses untuk membuat perolehan peranti elektronik yang bersesuaian dan platform yang selamat seperti yang disarankan pihak MAMPU. Sehubungan dengan itu penjawat awam yang berdedikasi dan penuh rasa tanggungjawab, kena bersedia dan melengkapkan diri dengan teknologi terkini untuk memastikan output dan keberkesanan bekerja dapat dicapai.
YB SUK mengingatkan Ketua Jabatan bahawa HANYA tugas yang kritikal atau mustahak sahaja dibenarkan hadir ke premis jabatan masing-masing. Selainnya perlu mengutamakan kemudahan bekerja dari rumah untuk tugas dan fungsi lain yang kurang kritikal. Namun, output yang dijana haruslah seoptimum mungkin dengan kaedah bekerja secara online dari rumah ini.
Menyentuh perihal konsep ruangan kerja, perubahan perlu dilaksana dan disesuaikan dengan situasi dan kaedah cara bekerja pada hari ini. Pejabat SUK menjadi premis jabatan yang akan dijadikan sebagai percubaan untuk pelaksanaan polisi ini. Tiada lagi ruang kerja secara perbadi. Malah perkongsian komputer akan mula dilaksanakan bagi peringkat pengkeranian.
YB SUK juga memberi maklum tiada lagi kata laluan untuk komputer dan akses kepada sesuatu dokumen yang perlu diberi perhatian. Norma kerja yang sudah sebati dengan penjawat awam akan mula mengalami perubahan demi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikekang. Secara tidak langsung kaedah ini akan mula dilaksana bagi mempersiapkan diri dengan kebiasaan baharu nanti. Perubahan demi perubahan akan mula dilaksanakan untuk penyesuaian dalam perkhidmatan awam dengan situasi semasa. Dengan kata lain, penjawat awam perlu mengamalkan way forward dalam usaha menjadi pendokong kepada kemajuan dan kemakmuran Negeri Pahang amnya.
Kembali ke Atas