Berita
PKP : YB SUK Tinjau Operasi PKOB Daerah Kuantan
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin b Ishak bukan sahaja meninjau dan beramah mesra dengan petugas yang ada malah turut mendengar sesi taklimat pengoperasian PKOB Daerah Kuantan yang disampaikan Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato' Nor Asmaliza bt Ku Lah.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH Dato' Mohd Zakaria b Ibrahim dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan, Dr. Rahimah bt Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali. Hadir sama mendengar taklimat dan aktiviti yang dijalankan di PKOB adalah Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan, merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuantan, Kapt. (PA) Zaubidah bt Said serta barisan Penghulu Mukim Daerah Kuantan.
Dalam taklimat tersebut, Pegawai Daerah turut memberi maklum status terkini warga Kuantan yang terlibat secara terus dengan wabak COVID 19 ini. Turut berkongsi bantuan dan sokongan yang diberi kepada kluster Person Under Investigation (PUI) dari sumbangan kerajaan negeri yang diumum Menteri Besar Pahang.
Petugas PKOB yang ada adalah terdiri daripada Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta kakitangan PDT Kuantan yang telah diatur giliran bertugas sehingga 28 April 2020 ini.
Pembekalan dan pengagihan barangan keperluan kepada ketua isi rumah telah mendapat perhatian kerajaan negeri dengan jumlah yang diperuntukan adalah sebanyak RM55,000 kepada 11 PKOB Negeri Pahang ini. Tugasan dan tanggungjawab barisan Penghulu Mukim Daerah Kuantan tidak boleh dipandang mudah memandangkan Penghulu Mukim bertanggungjawab di atas segala hal mukim dan menjadi orang perantaraan di antara kerajaan dan rakyat di peringkat mukim dengan menyampaikan maklumat dari kerajaan kepada rakyat dan dari rakyat kepada kerajaan. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan.
Kembali ke Atas