Berita
PKPB Di Pahang
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dengan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan telah hampir mencapai kapasiti maksimum, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bergandingan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai kementerian, agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.
Tindakan tegas sebegini diambil adalah untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19 dan ini amat penting bagi mengelakkan insiden peningkatan kes mendadak dalam tempoh yang singkat.
Menurut kenyataan Perdana Menteri lagi, dalam menangani pandemik Covid-19 ini, peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata dalam negara. Ianya tidak akan lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan segera. Begitu juga dengan pola kes kematian yang dilihat semakin meningkat saban waktu.
Peperangan dengan pandemik COVID-19 hanya boleh dimenangi dengan kesepaduan SEMUA PIHAK, tidak kira latar belakang, pangkat, darjat, profesion dan sebagainya. Akur dan bersama-samalah kita mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Semua pihak dimohon agar menjaga diri dan keluarga sendiri supaya tidak menjadikan kluster-kluster sedia ada yang kian menular di Pahang khususnya di daerah Kuantan, semakin berkembang. Sekiranya keadaan bertahan atau tiada perebakan yang luar biasa, kerajaan pasti tidak berhasrat untuk mengetatkan lagi kawalan. Oleh itu setiap kita diminta menghadkan pergerakan ke luar rumah kepada urusan-urusan yang perlu sahaja dan mengelakkan menghadiri majlis-majlis keramaian. Jabatan-jabatan kerajaan juga dinasihati mengurangkan aktiviti yang melibatkan orang ramai.
Sayugia diingatkan, orang ramai hendaklah tidak sewenangnya menyebarkan berita palsu. Bersama-sama kita semua merujuk kepada saluran rasmi untuk maklumat yang tepat dan benar. Sementara itu, sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan dengan mengamalkan:
a. Kerap mencuci tangan
b. Penjarakan fizikal 1 meter
c. Memakai pelitup muka terutama semasa berada di tempat awam
d. Elakkan kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elakkan bertutur atau bersembang dengan jarak yang dekat.
#staysafe #kitajagakita
Kembali ke Atas